Salam ukhuwah fillah,
Mei, Jun, Julai, Ogos, September dan sekarang Oktober!!!
Dah berapa bulan saya tidak menulis dalam blog ni, td terbaca blog kawan tetiba je teringat kat blog sendiri, adeeiii, sy pun ada rupanya. tapi, kenapa tidak saya gunakan medium ni untuk berkongsi rasa suka,duka dan sebagainya.Em...xpalah, kalau saya sempat saya 'update'kan blog ni. InshaAllah, saya cuba kongsi perkara-perkara yang bermanfaat...
Sekarang ni musim 'presentation' dan hantar assignments...banyaknya esaimen kena buat, mana nak buat revision untuk next exam lagi. Rasa gak tekanan tu, tapi bila kita da berada dalam tekanan, segala kerja akan berjalan..betul tak? Tapi bukan semua dapat membuat kerja dalam tekanan...nanti hasil yg dapat akhirnya tak bagus.
Saya pernah terdengar sesorang berkata "Tekanan itu penting!" tp da lupa dgr kat mana.Ape penting sangat tekanan tu? Kalau boleh semua orang nak menghindari tekanan dan jalani hidup dengan aman dan damai. Tapi apalah sangat daya kita jika kita lihat kebesaran Rabb, Dia Maha Mengatur segalanya! Setiap manusia akan mengalami tekanan mereka sendiri tapi bagaimana mereka mengaturnya? Supaya tekanan yg dihadapai tidak lagi berupa tekanan...tp mungkin makanan rohani untuk kita! Bagi kita umat Islam, pastinya kita akan kembali kepada Dia apabila berada dalam tekanan. Pernah tak dengar "Kalau dah terkena atau ditimpa musibah baru nak cari Dia". Bagaimana kalau kata-kata itu ditujukan kepada mereka yang baru nak mengenal Rabb? Allah sentiasa membuka pintu kemaafan kepada umatNya. Tekanan yang dihadapi perlu diurus! Ramai yang tidak dapat mengawal tekanan yang dihadapi hingga memudaratkan diri sendiri.
Cara menghadapi tekanan :
1) Mendapatkan Sokongan Sosial
Siapakah yang akan kita hubungi dan luahkan perasaan apabila menerima sesuatu berita yang menyedihkan? contoh: kematian keluarga dan kehilangan kerja. Selalunya kita akan bercerita dengan individu yang kita percayai seperti suami/isteri, sahabat dan guru. Apabila bercerita, kita akan berasa kurang menanggung beban perasaan dan adakalanya kita memperolehi idea penyelesaian masalah yang tidak terlintas dalam fikiran kita sebelum ini.
Tetapi, adakalanya kita sering menyalahgunakan sokongan sosial ini. Kita berharap orang lain akan menyelesaikan masalah kita. Kadangkala kita cenderung menggunakan masalah dan perasaan yang sedang kita alami untuk menarik perhatian orang lain. Kita bermasam muka, memaki, menangis tidak kira tempat dan masa. Perlakuan kita ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah sebaliknya semakin membebankan masalah sedia ada kerana orang lain takut untuk menampilkan diri. Sebaliknya jika kita bersikap lebih terbuka dan berusaha mencari jalan penyelesaian, maka orang lain akan senang hati membantu kita.
2) Sentuhan.
Sentuhan sangat penting dalam memelihara kesihatan emosi. Sentuhan membolehkan kita memaksimakan potensi tubuh sepenuhnya. Sentuhan juga mendatangkan ketenangan untuk otak kita. Pelukan merupakan sentuhan fizikal yang terbaik bagi memperolehi kesihatan dan keselesaan emosi. Kajian psikologi mendapati kita memerlukan sekurang-kurangnya 6 pelukan/sentuhan sehari untuk mengekalkan emosi yang sihat. Justeru, jangan lupa untuk memeluk suami/isteri dan anak anda setiap hari untuk mengekalkan kesihatan emosi anda!
3) Jenaka, Ketawa Dan Sentiasa Senyum
Kita perlu mengekalkan sikap fleksibel pada sesetengah keadaan bagi membantu kita menerima sebarang perubahan dan memastikan emosi kita lebih bersedia. Cara terbaik bagi menghilangkan kekakuan mental adalah dengan cara senyum, jenaka dan ketawa. Kebolehan berhumor menjadikan kita sentiasa ceria dan membebaskan diri daripada emosi yang negatif. Ketawa juga mempunyai banyak kelebihan dari segi psikologi. Ketawa boleh diterima pakai sebagai satu cara senaman ringan yang paling mudah!. Apabila kita ketawa, tengkuk, bahu dan otot-otot berkaitan akan turut bersenam. Lebih daripada itu, semasa ketawa, tubuh kita akan menyingkirkan dioksida yang tidak baik dan menghasilkan sel-sel yang boleh melawan penyakit. (Norman Cousins, Anatomy Of An Ilness) Walau bagaimanapun, ketawa biarlah berpada dan tidak berlebihan kerana ketawa yang berlebihan boleh mematikan jiwa.
Kita sering mendengar bahawa senyum itu seindah suria. Ia memang benar!!!. Apabila kita tersenyum, secara spontan kita akan rasa gembira. Eksperimen ke atas sekumpulan individu yang tertekan mendapati mereka boleh beransur menjadi gembira apabila diminta senyum walaupun tanpa sebarang perasaan dengan menegangkan otot di sekitar mulut dan mengarahkan hujung mulut ke atas. Hasilnya mereka boleh menjadi gembira walaupun sedikit!!. Jadi sentiasalah tersenyum terutamanya apabila kita tiba-tiba berasa muram tanpa sebab. Pasti anda boleh berasa gembira semula.
4) Memandang Warna Yang Menenangkan
Kajian membuktikan bahawa warna memberi kesan kepada perasaan kita. Warna merah terang, oren dan kuning memberikan kita tenaga. Kombinasi warna merah dan kuning menyebabkan darah kita berkitar dan menaikkan suhu badan. Biru dan hijau memberi kesan menyejukkan dan menenangkan. Anda pasti boleh mengenalpasti warna dengan cara anda sendiri untuk mengubah perasaan yang anda mahukan.
5) Hindari bunyi bising
Bunyi boleh memberi kesan kepada perasaan kita. Kita dilahirkan dengan perasaan yang tidak selesa kepada bunyi bising. Kebisingan juga boleh memberi tekanan dalam diri. Ia juga boleh menaikkan tekanan darah, mempercepatkan degupan jantung dan memberi kesan psikologi yang lain. Walau bagaimanapun bukan semua bunyi memberi kesan buruk. Muzik contohnya boleh memberi kesan yang baik kepada perasaan dan kesihatan diri kita.
Menurut kajian dari. Avram Goldstein, muzik boleh menyebabkan otak mengeluarkan sejenis bahan penenang yang dinamakan endorfin. Muzik juga boleh menimbulkan pelbagai variasi perasaan. Justeru, jika anda rasa tertekan, dengarlah lagu-lagu kegemaran anda. Semoga ia dapat membantu
6) Membaca Al-Quran, zikir dan selawat.
Bagi yang beragama Islam, bacalah ayat-ayat suci Al-Quran. Sesungguhnya ayat Al-Quran adalah penenang jiwa yang paling mujarab. Untuk mengelakkan tekanan perasaan selalulah berzikir dan berselawat agar hati sentiasa tenang dan tidak gusar. Kita perlu yakin bahawa walau bagaimana hebat tekanan yang kita alami, pertolongan Allah SWT tetap ada kerana selepas kesempitan pasti ada kelegaan dan selepas kepayahan pasti ada kesenangan.
7) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.
8) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
9) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
10) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan- Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
11) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang tahu tekanan yang dihadapi di tempat kerja. Dalam kita bersujud kepadaNya juga kita akan merintih mungkin tidak mampu lagi menahan tekanan yg dihadapi.Mudah-mudahan diterima segala doa~
Akhir sekali sebagai renungan, "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) : bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (Al-Insyiraah:5-6)
Sumber: http://www.ukhwah.com/print.php?sid=2104 dan etc
InshaAllah...Dia Maha Mengetahui segalanya kerana Dia Pencipta kita, daripada Dia kita datang, kepada dia kita pulang...Kembali kepadaNya...InshaAllah~
Jumaat, 8 Oktober 2010
AllahuRabbi~
TerNukil oLeH : annurkhoirun jam 11:45 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 komentar:
Catat Ulasan